Monday, December 9, 2013

Pemuda PAS fokus belia untuk menang pilihan raya


Ketua Pemuda PAS yang baru, Suhaizat Kaiat berazam akan memberikan tumpuan penuh kepada usaha mendekati anak muda daripada pelbagai kalangan sepanjang beliau memegang jawatan ini dan menghadapi segala cabaran mengenainya tanpa resah.
Walaupun sehingga kini belum berjaya menubuhkan kabinet sepenuhnya, Suhaizan berkata, beliau berazam untuk  membawa pemuda PAS ke satu kedudukan yang  boleh membantu PAS memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Misi saya adalah mendekati anak muda. Saya akan jadikan ini sasaran saya kerana yakin hanya dengan cara ini Pemuda PAS dapat memberikan sumbangan terbaik untuk parti," katanya dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Suhaizan menang dalam perebutan sengit untuk memimpin Pemuda PAS apabila berjaya mengalahkan dua pencabar iaitu Kamaruzaman Mohamad dan Zulhazmi Syarif.

Suhaizan menang ketika polemik mengenai Pemuda PAS yang dilihat terpinggir dalam isu nasional terus menjadi topik perbincangan sejak kebelakangan ini. Polemik ini berlanjutan kerana Pemuda PAS tewas dengan sentimen yang membandingkan kepimpinan Pemuda PAS dengan ikon Pemuda lain seperti Rafizi Ramli, Khairy Jamaluddin, Anthony Loke atau Pemuda daripada parti lain.

Namun, jika dilihat daripada segi kekuatan ahli, Pemuda PAS jauh di hadapan berbanding sayap pemuda parti lain. Malah kekuatan itu sering ditumpang oleh parti lain semasa pilihan raya umum (PRU). Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa kekuatan ahli PAS, PKR mungkin akan lumpuh di beberapa kawasan semasa PRU13 lalu.

Berdepan dengan polemik inilah, Suhaizan dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS. Beliau terpilih ketika rakan-rakannya yang lain tewas kepada kumpulan pro ulama dalam Pemuda PAS. Daripada 15 anggota Exco Pemuda PAS yang ada, hanya tiga bersama Suhaizan manakala 12 lagi dikira kumpulan yang tidak bersamanya.

Berikutan itu mesyuarat pertama Pemuda PAS selepas Muktamar PAS ke-59 lalu gagal membentuk kabinet penuh. Mesyuarat kedua sepatutnya diadakan 5 Disember lalu tetapi ditangguhkan akibat banjir yang melanda negara.

Ini kerana semua jentera Pemuda PAS khasnya Unit Amal digerakkan untuk membantu mangsa banjir. Mesyuarat akan diadakan 11 Disember ini untuk menetapkan jawatan utama dalam Pemuda PAS.
"Mesyuarat akan diadakan 11 Disember ini. Saya harap Kabinet penuh akan berjaya dibentuk," kata Suhaizan.

Cabaran utama Suhaizan adalah apa yang dibuat oleh Pemuda Umno sebagaimana musuh tradisi PAS adalah Umno dan antaranya ialah projek IAM4U yang disifatkannya sangat disenangi anak muda.
"Saya yakin, jika kita dapat kuasai anak muda, kita akan berjaya menguasai negara ini, jika tidak sekarang akan dapat juga di masa depan kerana mereka adalah pemimpin masa depan," kata pemilik ijazah sarjana yang juga pensyarah muda sains komputer dan bekas pemimpin pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Bagi mencapai hasratnya itu, Suhaizan mula menggerakkan usaha dialog dengan pelbagai kelompok anak muda.

Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar, Suhaizan berkata, anak muda bosan dengan isu muzakarah, berkali-kali disebut tetapi tiada pelaksanaan.

"Anak muda mahu kedua-dua pihak melaksanakannya dengan baik, bukan sekadar buat cadangan dan tutup tanpa penyelesaian," katanya.

Suhazian juga mahukan pemikiran kristis dari luar diraikan oleh Pemuda PAS dan ia disuarakan dalam wacana beliau dengan Pemuda PAS Batu, baru-baru ini.

Suhaizan berkata, beliau akan memperkasakan tiga jabatan utama dalam PAS iaitu Jabatan Amal yang menjalan kerja kebajikan, Jabatan Pasti yang menumpukan kepada pendidikan pra-sekolah dan Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS).

"Jangan fikir PAS hanya parti politik semata-mata kerana PAS adalah parti untuk anak muda selari dengan kehendak Islam," katanya. – 10 Disember, 2013

No comments:

Post a Comment